SHAH ALAM - Ninja Van Malaysia mengambil langkah proaktif menganjurkan program Panel Perbincangan ScamMinar pada Khamis bagi menangani peningkatan mendadak kes penipuan yang semakin membimbangkan di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng berkata, tanggungjawab mereka di syarikat penghantaran barang terbabit melebihi sekadar logistik, tetapi turut mempunyai kewajipan untuk mendidik orang ramai mengenai ancaman penipuan semakin meningkat.
"ScamMinar tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk bukan sahaja menghantar bungkusan, tetapi juga menyampaikan kepercayaan dan keselamatan.
"Walaupun penipu semakin bijak, tetapi melalui kesedaran, pendidikan dan kerjasama, kita boleh sentiasa mendahului mereka selangkah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Ninja Van Malaysia turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada program Panel Perbincangan ScamMinar tersebut.
Acara tersebut turut menampilkan sesi panel pakar merangkumi tanda amaran penipuan pembelian dalam talian, taktik penipuan yang semakin berkembang, tip perlindungan data dan cara melaporkan aktiviti mencurigakan.
Langkah itu diambil Ninja Van Malaysia berikutan rekod kajian syarikat itu menunjukkan lebih 17,000 kes penipuan berlaku dengan 40 peratus daripadanya tertumpu di Lembah Klang pada 2024, manakala lebh 3,500 laporan penipuan diterima pada suku pertama tahun ini.
Sementara tu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Risikan/Operasi) Selangor, Superintenden Yap Huat Tian berkata, pendidikan awam dan kerjasama antara agensi adalah penting dalam menangani gelombang penipuan semakin meningkat.
Beliau berkata, inisiatif seperti ScamMinar menyediakan platform penting untuk menyampaikan maklumat kepada komuniti terdedah dan memperkasakan mereka dengan ilmu untuk melindungi diri.
"Kami memuji usaha proaktif Ninja Van Malaysia dalam usaha melibatkan seluruh negara," ujarnya.
Sementara itu.Pengasas dan Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn Bhd, Raymon Ram menjelaskan penipuan yang mengeksploitasi kelemahan tadbir urus dan kelompongan digital mampu menjejaskan kepercayaan awam terhadap perniagaan dan institusi berkaitan.
"Di Transparency International Malaysia, kami percaya bahawa usaha memerangi penipuan perlu melangkaui penguatkuasaan dengan perkara itu memerlukan integriti, ketelusan dan kepekaan masyarakat," menurutnya.
Justeru, Raymon menegaskan pihaknya berbangga menyokong ScamMinar oleh Ninja Van Malaysia sebagai satu inisiatif tepat pada masanya yang menonjolkan kuasa kolaborasi antara penguatkuasa undang-undang, sektor swasta dan masyarakat sivil.
"Hanya melalui pendidikan berterusan, amalan korporat yang beretika, dan kerjasama pelbagai pihak barulah kita mampu menggugat ekosistem yang membolehkan penipuan terus berleluasa,” tambah beliau.