4 individu ditahan seleweng dana NGO berjumlah RM8 juta

Iklan
Empat suspek ditahan SPRM kerana disyaki bersubahat menyeleweng aset dan wang tunai berjumlah RM8 juta milik sebuah NGO

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki bersubahat menyeleweng aset dan wang tunai berjumlah RM8 juta.

Menurut sumber, dana tersebut merupakan milik NGO di tempat mereka bekerja.

Iklan
Iklan

Keempat-empat suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025.

Iklan

“Mereka dipercayai telah bersubahat bersama pengerusi NGO berkenaan yang menyalahgunakan kuasa serta melakukan penyelewengan dana bagi kepentingan peribadi,” katanya pada Khamis.

Susulan penahanan itu, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah RM900,000 dan membekukan 14 akaun yang terdiri daripada lapan akaun individu serta enam akaun syarikat, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM5 juta.

Iklan

Selain itu, SPRM turut menyita barangan kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, serta empat unit rumah di Melaka.

Sinar Harian difahamkan bahawa Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin telah membenarkan keempat-empat suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan.

Tindakan reman itu dikenakan selepas permohonan dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret 3, Kompleks Mahkamah Melaka pada Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.