TEMERLOH-Hasrat seorang sukarelawan Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menjamu ikan patin buat kali terakhir tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, bersama rakannya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang membawa dadah ketika berhenti di lampu isyarat terbabit.
Ibu mangsa, Yusnani Mohamad Yusof, 46, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu keluar untuk makan bersama rakannya sebelum menaiki kereta api ke Dabong, Kelantan, awal pagi Khamis."Arwah nak rasa sikit, tapi tak cukup. Saya beli sikit untuk neneknya. Saya cakap nanti ibu belikan lagi... tapi dia diam saja. Rupa-rupanya itu permintaan terakhir dia," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada Khamis.