KUALA LUMPUR – Taktik sebuah pusat hiburan yang menjadikan muzik ‘dugem’ (dunia gemerlap) sebagai tarikan kepada pengunjung warga asing terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di Pudu, di sini pada Rabu.
JIM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan premis berkenaan beroperasi pada jam 11 malam hingga 5 pagi dan menyediakan khidmat DJ (deejay) warga tempatan dan asing untuk menarik kehadiran warga asing, terutama dari Indonesia.
"Seramai 310 individu yang terdiri daripada 128 lelaki dan 116 perempuan warga asing serta 66 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.
"Hasilnya, seramai 185 warga Indonesia yang terdiri daripada 106 lelaki dan 79 wanita, dua warga Kemboja iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, serta satu lelaki warga Nepal berusia 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya.
Menurut kenyataan itu, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
"JIM telah menjalankan risikan selama dua minggu hasil maklumat awam sebelum menggempur premis berkenaan pada jam 2 pagi.
"Serbuan dibuat oleh 129 anggota dan pegawai penguat kuasa JIM bersama 11 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.
JIM berkata, kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA dan Lenggeng untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
"JIM turut mengeluarkan lapan saman kepada saksi terhadap penyelia dan penjaga premis serta seorang wanita yang bertindak sebagai DJ di pusat hiburan tersebut.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin," tegasnya.