KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku termasuk ayam, beras Siam seludup dan kenderaan yang dianggarkan berjumlah RM64,600 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang serta Tumpat pada Selasa.
Rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Cherang Melintang dan pangkalan haram Kampung Simpangan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama jam 9 pagi itu membawa kepada rampasan 650 kilogram (kg) beras seludup dari Thailand bernilai RM2,600.
"Beras itu kita temukan dalam kenderaan jenis Perodua Kancil hasil pemeriksaan di lokasi," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Dalam pada itu, Nik Ros Azhan berkata, serbuan kedua pada jam 11.30 pagi dilakukan selepas PGA menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Kampung Simpangan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 603 kg makanan sejuk beku dan 240 kg ayam sejuk beku yang disyaki diseludup masuk dari Thailand melalui pangkalan haram.
"Dalam serbuan itu, PGA turut menahan seorang wanita berusia 48 tahun dipercayai menjadi penghantar barang tersebut ke pasaran tempatan.
"Anggaran rampasan bernilai RM64,000 termasuk kereta dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Tambahnya, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.