PMR 2025 Perak tawar lebih 200 perkhidmatan kepada rakyat

Iklan
Program Madani Rakyat 2025 Perak menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada pengunjung.

IPOH – Program Madani Rakyat (PMR) 2025 bakal berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Lumut Waterfront, Lumut dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Program berskala besar itu dianjurkan secara bersama oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri selaku sekretariat induk, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah.

Iklan
Iklan

Bertemakan Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani, program itu menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran iaitu dari 13 hingga 15 Jun ini.

Menurut Sekretariat Induk Program Madani Rakyat 2025, sepanjang program berlangsung pelbagai agensi kerajaan peringkat persekutuan dan negeri akan menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan, keusahawanan dan peluang kerjaya.

Iklan

“Antara tarikan utama ialah Jualan Madani yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus untuk barangan keperluan harian, selain Karnival Kerjaya yang menampilkan penyertaan 10 majikan dengan lebih 1,000 kekosongan jawatan ditawarkan.

“Sebanyak 36 reruai kementerian dan agensi kerajaan akan beroperasi di tapak program selain kehadiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang turut menyumbang menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Program itu juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti luar seperti perkhidmatan kesihatan, kaunter saman Polis Diraja Malaysia, penukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), e-sukan, pameran aset keselamatan, jualan usahawan dan trak makanan.

Menurut penganjur, PMR 2025 Perak menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat menerusi pendekatan turun padang dan sesi libat urus yang terbuka dan inklusif.

Majlis penutupan program akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Jun, 2 petang dan dijangka turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi kerajaan persekutuan dan negeri.

Program itu turut diperluas menerusi empat program satelit di kawasan sekitar antaranya aktiviti Belia Silat Madani, Kenduri Rakyat, serta program keagamaan dan komuniti nelayan.

Orang ramai yang ingin hadir dinasihatkan merancang perjalanan dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam serta menjaga keselamatan dan kebersihan sepanjang berada di tapak program.

Maklumat lanjut mengenai PMR 2025 Perak boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.malaysiamadani.gov.my.