KUALA LUMPUR - Penyertaan Malaysia sebagai negara rakan dalam BRICS tidak bermakna negara terikat dengan mana-mana blok, sebaliknya perlu dilihat sebagai peluang untuk memperluas perdagangan dan pelaburan.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, negara kekal mengamalkan dasar luar yang pragmatik dan berkecuali dengan menjalin hubungan terhadap semua kuasa serta blok ekonomi dunia.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada mana-mana blok geopolitik ketika berdepan ketidaktentuan global, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama ekonomi.
"Kita hadir sebagai negara rakan kali ini, bukan ahli penuh lagi, jadi tidak ada isu keterikatan blok.
"Malaysia perlu berkawan dengan semua gagasan selari dengan dasar luar negara sejak merdeka lagi kerana kita tidak pernah dan tidak akan meletakkan semua kepentingan dalam satu bakul geopolitik," katanya selepas melancarkan Hab Komuniti Pandan di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di India pada Jumaat bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan akan menyampaikan kenyataan negara bertajuk 'Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif'.
Tengku Zafrul yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, platform itu juga dilihat dapat memperkukuh hubungan dengan pemimpin negara anggota BRICS serta rakan ekonomi Malaysia.
"BRICS ini juga kita kena lihat sebagai peluang ekonomi dari segi perdagangan, pelaburan, kerjasama tenaga, teknologi dan sebagainya," katanya lagi.
Ditanya mengenai Belanjawan 2027, Tengku Zafrul berkata, prestasi makroekonomi negara ketika ini berada pada kedudukan baik namun, kerajaan perlu memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat.
"Pertumbuhan mestilah saksama. Saya ada banyak berbincang, beri cadangan kepada Kementerian Kewangan dan Anwar sendiri untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dirasai setiap lapisan masyarakat.
"Yang mana belum merasainya, insya-ALLAH kita dapat atasi isu ini melalui belanjawan,” katanya.
Tambah beliau, masih terdapat ruang perlu diperkemaskan menerusi sesi libat urus dengan rakyat khususnya pemain industri dan peniaga kecil.