Tiga lelaki ditahan bersama dadah, peranti disyaki bahan letupan

Iklan
Ketiga-tiga suspek kini diserahkan kepada pihak IPD Kajang untuk siasatan lanjut. (Gambar kecil: Muhamad Farid)

SERDANG – Cubaan tiga lelaki meloloskan diri daripada sekatan jalan raya membawa padah apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas selepas dikejar polis di Jalan Suakasih, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 pagi ketika sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menjalankan pemeriksaan"snap check" di Jalan Putra Permai, dari arah Sierra 16 menghala ke Seri Kembangan.

Iklan
Iklan

"Kita telah menahan sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki tiga lelaki, namun kenderaan tersebut bertindak memecut laju ke arah Seri Kembangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhamad Farid berkata, pasukan polis kemudian mengejar kenderaan itu hingga ke persimpangan Jalan Suakasih menuju ke Lebuhraya Kajang Silk.

Iklan

"Kereta suspek kemudiannya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 5.1 sebelum terbalik di tengah jalan," katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 40 hingga 51 tahun itu mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Iklan

"Hasil semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya turut dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui pelbagai jenis dadah disyaki termasuk kokain seberat 77.10 gram, ganja (49.28 gram), serbuk ekstasi (54.07 gram), ketamin (30.18 gram), pil yaba (3.20 gram), pil ekstasi (3.40 gram) dan pil Eramin 5 (0.98 gram).

"Turut ditemui ialah satu objek berwarna kelabu yang dibalut plastik lutsinar mengandungi komponen besi dan skru, bersama satu gulung wayar dan satu unit bateri motosikal yang dipercayai peranti bahan letupan (IED)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Ketiga-tiga suspek kini diserahkan kepada pihak IPD Kajang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah agar menghubungi Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran," ujarnya.