KOTA BHARU - Diuji dengan serangan kuman leptospirosis atau kencing tikus menjadi ‘hikmah tersembunyi’ buat penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Shafie Mat Anuar, 20, apabila terselamat daripada kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas di Gerik, Perak awal pagi Isnin.
Muhammad Shafie yang sepatutnya menaiki bas berkenaan pada jam 9 malam Ahad dimasukkan ke wad di Hospital Besut kira-kira jam 1.50 tengah hari, hari yang sama selepas mengalami demam panas dengan suhu badan yang tinggi.
Katanya, walaupun terpaksa menerima rawatan di wad pada hari kedua sambutan Aidiladha, dia dan keluarganya bersyukur kerana tidak terlibat dalam tragedi itu.
“Semua ini sudah ketentuan ALLAH SWT dan saya sendiri tidak menyangka kemalangan itu akan menimpa mereka,” katanya ketika dihubungi.
Lebih menyedihkan, kata Muhammad Shafie, dua individu terkorban dalam kemalangan tersebut merupakan rakan rapatnya yang juga sekampung, Muhammad Mustaqim Rosde, dan rakan sekelas, Nor Ayuni Maslan.
Berkongsi keadaannya pada hari kejadian, penuntut Tahun Satu, Semester Dua Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Pengembangan Pertanian) dengan Pendidikan itu berkata, beliau mengalami demam kuat hingga tidak mampu membantu kerja-kerja rumah.
Muhammad Shafie kemudian ke Hospital Besut ditemani ibunya, Mariam Zakaria, 60, sekitar jam 9 pagi bagi mendapatkan rawatan, dengan harapan keadaan kesihatannya pulih dan dia dapat bertolak semula ke kampus pada malam tersebut.
“Namun saya terpaksa dimasukkan ke wad dan hanya selepas beberapa jam, doktor mengesahkan saya menghidap leptospirosis,” ujarnya.
Menurutnya, dia mengetahui tentang kemalangan tersebut melalui satu kumpulan WhatsApp sekitar jam 5 pagi, namun ketika itu belum mendapat maklumat lengkap mengenai nasib para mangsa.
“Beberapa minit kemudian, saya dimaklumkan Ayuni telah meninggal dunia dan selepas itu, seorang demi seorang disahkan telah ‘pergi’,” katanya dengan nada sebak.
Muhammad Shafie yang masih menerima rawatan dijangka keluar daripada wad pada Khamis, dan akan kembali ke kampus selepas itu.
“Saya mendoakan agar segala urusan keluarga mangsa yang terkorban dipermudahkan dan mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian daripada ALLAH SWT,” katanya lagi.