[VIDEO] 'Saya maafkan pemandu bas, tiada dendam' - Bapa Muhammad Adib

Iklan

BACHOK -"Saya maafkan pemandu bas, apa yang berlaku ini takdir. Tiada dendam terhadap dia."

Demikian luahan Halim Sidik, 58, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Hazim, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Iklan
Iklan

Menurut Halim, apa yang berlaku kepada anak keenam daripada tujuh beradik itu adalah ketentuan Ilahi.

Halim menahan sebak apabila mengingat kembali kenangan bersama Muhammad Adib.

“ALLAH sayang Adib. Apa yang berlaku, kami reda dan tiada dendam terhadap pemandu walaupun banyak cerita yang dihebohkan berkenaan dirinya.

Iklan

“Anak kami pergi dengan baik. Saya fikir pemandu pun ada keluarga, dia juga tidak berniat untuk membawa laju. Soal maaf, biarlah dia pohon kepada Tuhan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Cina, di sini, pada Rabu.

Gambar Muhammad Adib (kiri) menjadi pengganti diri dan disimpan di dalam telefon Halim.

Terdahulu, Sinar Harian pada Selasa melaporkan pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit.

Iklan

Menurut Mohd Amirul yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Taiping, Perak, bas yang dipandunya dipercayai mengalami masalah brek.

Halim memaafkan pemandu bas dan menganggap apa yang berlaku adalah takdir.

Pada Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas hilang kawalan dan terlibat pelanggaran dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.