GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijangka memulakan kerja-kerja fizikal dalam tempoh sebulan hingga dua bulan selepas semua isu tertangguh antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diselesaikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan yang dipengerusikannya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu mesyuarat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bulan lalu telah mencapai kata sepakat berhubung pelbagai perkara tertunggak termasuk surat pelepasan daripada kerajaan negeri.
"Notis memulakan kerja telah pun dikeluarkan dan semua isu berbangkit antara MOT dan kerajaan Pulau Pinang telah diselesaikan dengan baik.
"Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan surat pelepasan dan ketika ini kontraktor utama telah menganugerahkan tender kepada kontraktor-kontraktor kecil.
"Jadi, kerja-kerja fizikal akan bermula tidak lama lagi, dijangka dalam masa sebulan atau dua bulan lagi,” katanya selepas meninjau perkhidmatan Rapid Penang On-Demand di sini pada Selasa.
Anthony berkata, kerja-kerja awal termasuk penanaman cerucuk akan dilaksanakan dan pihaknya telah meminta agar pelan lencongan trafik disediakan sebaik kerja pembinaan bermula.
"Mesti ada pelan lencongan trafik supaya projek ini tidak memberi kesan buruk kepada kesesakan lalu lintas yang sememangnya menjadi isu utama di Pulau Pinang.
"Namun begitu, seperti mana-mana projek pembinaan lain, sudah tentu akan ada sedikit kesan kepada pengguna jalan raya. Apa yang penting ialah usaha untuk mengurangkan impak itu semaksimum mungkin,” katanya.
Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion yang telah diluluskan Jemaah Menteri dan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A, Tebus Guna Selatan, Pulau Pinang.
Projek LRT Laluan Mutiara dijangka memberi impak besar kepada infrastruktur dan ekonomi negeri ini, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mencipta ribuan peluang pekerjaan.