PUTRAJAYA – Kemalangan bas yang meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak pada Isnin lalu menjadi isyarat jelas bahawa ekosistem perkhidmatan bas di negara ini perlu disemak semula secara menyeluruh dan serius.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menegaskan bahawa kemalangan membabitkan bas bukanlah perkara baharu di Malaysia, malah telah berulang kali berlaku sejak bertahun-tahun lalu.
"Seluruh negara sedang berdukacita dengan kemalangan bas yang melibatkan pelajar UPSI. Ini bukan tragedi pertama. Sudah berulang kali.
"Apa yang kita perlukan sekarang bukan lagi sekadar simpati, tetapi tindakan segera yang lebih tegas,” katanya pada Selasa.
Menurut beliau, sudah tiba masanya pihak berkuasa meneliti dan menilai semula keseluruhan ekosistem perkhidmatan bas.
"Ekosistem perkhidmatan bas mesti disemak semula secara keseluruhan termasuklah kualiti laluan jalan raya, penyelenggaraan bas, perundangan, agensi penguat kuasa, pemandu berhemah, insurans hinggalah kepada tanggungjawab pemilik bas.
"Semuanya harus disemak semula. Bukan hanya menyalahkan pemandu atau syarikat semata-mata, sebaliknya sistem keseluruhan perlu diperbaiki,” katanya.
Dr Anuar turut mencadangkan agar dibangunkan sistem pengesanan had laju bersepadu yang boleh dipantau secara langsung oleh pihak berkuasa dari pusat kawalan.
"Sepatutnya sudah ada sistem pengesanan had laju bersepadu yang boleh dipantau secara langsung oleh pihak berkuasa dari pusat kawalan. Ini langkah yang sepatutnya telah dilaksanakan lama dahulu,” ujarnya.
Menurut beliau, kemalangan membabitkan bas telah meragut banyak nyawa sejak beberapa dekad lalu, namun tindakan susulan masih belum menunjukkan perubahan yang ketara.
"Bayangkan jumlah kehilangan nyawa yang telah berlaku. Ini bukan isu baharu,” katanya.
Dr Anuar turut mengimbau beberapa tragedi besar melibatkan bas sebelum ini, antaranya pada Julai 1996 di Genting Highlands yang mengorbankan 17 nyawa termasuk enam kanak-kanak.
Selain itu, tragedi pada 21 Ogos 2013 di Genting Highlands yang mengorbankan 37 orang serta kemalangan pada 24 Disember 2016 di Muar, Johor yang meragut 14 nyawa juga membuktikan bahawa isu keselamatan bas sudah lama membelenggu negara.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak berhenti menuding jari dan mula bertindak memperbaiki sistem sedia ada demi keselamatan rakyat.
"Siasatan memang sedang dijalankan. Kita tidak perlu mendahului pihak berkuasa dengan pelbagai tuduhan. Namun, apa yang penting, ekosistem perkhidmatan bas mesti diperbetulkan,” tegas beliau.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berpendapat kerajaan perlu mewajibkan pemasangan sistem ‘cut-off’ automatik pada kenderaan komersial seperti bas dan lori bagi mengawal kelajuan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, sistem tersebut amat penting bagi memastikan pemandu tidak membawa kenderaan melebihi had laju yang dibenarkan.
"Bas ke, lori ke, saya rasa perlu ada sistem ‘cut-off’ secara automatik. Maksudnya, macam mana dia tekan pun, sistem itu tidak membenarkan kelajuan melebihi 90 kilometer sejam," katanya.
Beliau berkata, cadangan itu adalah antara langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan komersial.
"Kalau sistem ini dilaksanakan, saya yakin kemalangan boleh dikurangkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Arman Azha turut menggesa kerajaan supaya melaksanakan ujian saringan air kencing secara berkala setiap bulan terhadap semua pemandu kenderaan komersial termasuk bas dan lori.
"Kenapa kerajaan tidak buat satu polisi di mana ujian saringan air kencing secara bulanan terhadap pemandu-pemandu kenderaan komersial ini?
"Salah satunya untuk pastikan mereka tidak terlibat dengan penggunaan bahan terlarang demi keselamatan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Jelas beliau, dasar tersebut mudah dilaksanakan dan mampu memberi impak besar terhadap keselamatan negara.
"Kalau kita laksanakan, ia jauh lebih berkesan,” katanya.
Tambah beliau, walaupun sistem pemantauan seperti kamera telah disediakan, masih terdapat pemandu yang memandu laju kerana terlalu mengejar trip.
"Janganlah bawa lori atau bas komersial dengan mengejar trip sangat, nak cepat sampai. Kena fikir penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu,” ujarnya.
Arman Azha turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu yang melanggar undang-undang termasuk menggantung atau membatalkan lesen.
"Kalau mana-mana pemandu mengganggu atau cuba mengubah sistem cut-off tersebut, tarik lesen. Tak boleh jadi pemandu komersial,” katanya.