Dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia fokus utama sidang AIPA

Iklan
Johari (kanan) ditemani Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melawat pameran dadah selepas merasmikan mesyuarat AIPACODD ke-8 di Kuantam pada Selasa.

KUANTAN - Tiga isu utama menjadi tumpuan dalam Mesyuarat Ahli-ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) ke-8 yang berlangsung di sini, dengan penyertaan wakil rakyat dari seluruh rantau.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata isu yang dibincangkan merangkumi penyalahgunaan dadah, jenayah siber termasuk perjudian dalam talian, serta pemerdagangan manusia yang merupakan tiga cabaran besar saling berkait dan memberi kesan kepada semua negara ASEAN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketiga-tiga isu ini memerlukan pendekatan kolektif oleh negara anggota bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di rantau ini terus terjamin.

"Jadi, tiga perkara penting yang akan kita beri fokus... (tetapi) dadah akan terus menjadi fokus utama kerana ia adalah ancaman terbesar yang bukan sahaja mendatangkan kesan kepada individu, malah merosakkan institusi keluarga dan masyarakat.

Iklan

"Kita juga tidak boleh pandang ringan tentang pemerdagangan manusia kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara, tetapi turut mencemarkan imej kita di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat AIPACODD ke-8 di sini pada Selasa.

Johari bersama perwakilan daripada ASEAN yang menghadiri mesyuarat AIPACODD ke-8 pada Selasa.

Sebanyak 10 negara ASEAN menyertai mesyuarat itu, termasuk wakil Parlimen daripada Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Indonesia.

Iklan

Johari memberitahu, tema AIPA tahun ini iaitu"Uniting Parliamentarians for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges” memberi penekanan kepada usaha kolektif memerangi penyalahgunaan dadah yang semakin menjadi ancaman serius.

Katanya, isu dadah bukan sahaja melibatkan kegiatan haram semata-mata, malah turut menyumbang kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk jenayah dan keruntuhan sistem masyarakat.

"Kita tidak mahu dadah ini menjadi satu normalisasi dalam masyarakat, tetapi ia harus dilihat sebagai satu ancaman serius yang memerlukan tindakan bersama,” ujarnya.

Menyentuh soal hukuman gantung, Johari menegaskan bahawa pendekatan tersebut serta hukuman penjara semata-mata tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu dadah yang semakin meruncing.

Beliau menekankan bahawa perbincangan perlu dibuat secara lebih menyeluruh dan berasaskan data yang tepat supaya Ahli Parlimen dapat menggubal undang-undang yang bersifat penyelesaian, bukan hanya memanjangkan penderitaan masyarakat.

"Kita mahu kerajaan mengambil tindakan yang tepat, sama ada melalui rawatan kesihatan atau pendekatan perundangan yang lebih sesuai.

"Kita harus fikir langkah yang lebih konstruktif. Penagih dadah ini mungkin juga pesakit, bukan semata-mata penjenayah,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Johari memaklumkan bahawa pada 2024, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan rampasan dadah haram sebanyak 236 tan di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara, dengan peningkatan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"UNODC turut menganggarkan bahawa penipuan siber telah menjana antara 18 hingga 37 bilion dolar AS dalam hasil jenayah pada 2023.

"Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan lebih 11 juta orang dianggarkan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Asia Pasifik, satu peringatan tegas tentang kos kemanusiaan di sebalik jenayah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Johari menyatakan bahawa resolusi yang diluluskan pada mesyuarat kali ini akan menjadi panduan penting bagi setiap negara anggota dalam memperkukuh usaha memerangi isu-isu berkenaan.

"Resolusi yang diluluskan ini menjadi asas kepada tindakan kita seterusnya supaya semua negara anggota dapat bergerak dalam satu hala tuju,” jelasnya.

Johari menegaskan bahawa Malaysia sentiasa komited untuk bekerjasama dengan negara-negara jiran dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan.

"Kita berharap setiap negara akan mengambil tindakan susulan daripada mesyuarat ini bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah yang telah dicadangkan,” katanya.