Kawalan keselamatan perlawanan Malaysia menentang Vietnam diperketat

Iklan
Seramai 60,000 penyokong dijangkakan akan hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan kawalan keselamatan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menjangkakan seramai 60,000 penyokong akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, katanya, PDRM akan melaksanakan persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan serta unit berkaitan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum dan selepas pintu masuk stadium.

Iklan

"Ia melibatkan pemeriksaan badan dan beg pengunjung, selain larangan membawa barangan terlarang termasuk mercun, bunga api, suar, pemetik api, botol air atau objek tajam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, terutama bagi yang menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Iklan

Menurutnya, penyokong digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tambah beliau, orang ramai juga diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran stadium.

"Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas,” tegasnya.

Ridzuan turut mengingatkan semua penyokong agar mematuhi segala arahan yang diberikan, dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang cuba menimbulkan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau.

"Semua penyokong dilarang melakukan sebarang perbuatan terlarang sepanjang perlawanan berlangsung mahupun selepas tamat perlawanan,” katanya.