SHAH ALAM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyenaraikan 13 inisiatif bantuan dan sokongan yang akan disalurkan kepada penuntut serta waris mangsa terlibat nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding pada Isnin.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kesemua bantuan itu disediakan sebagai langkah awal pihak universiti dalam memastikan kebajikan penuntut dan keluarga mereka diberikan perhatian sepenuhnya.
Menurutnya, sejak kejadian itu, pihak pengurusan UPSI telah menggerakkan pelbagai usaha bagi menyalurkan bantuan kewangan segera kepada waris mangsa, di samping memastikan jenazah diuruskan dengan sempurna sehingga ke tanah perkuburan masing-masing.
"Setiap keluarga turut diiringi pegawai khas yang ditugaskan untuk membantu menguruskan perjalanan membawa pulang jenazah ke kampung halaman.
"UPSI turut menyediakan makan dan minum kepada ahli keluarga serta petugas yang terlibat dalam pengurusan di hospital dan lokasi berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Md Amin berkata barangan peribadi mangsa turut dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh UPSI.
Menurutnya, UPSI juga menyediakan bantuan khidmat kaunseling dan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa dan pelajar yang cedera dalam kemalangan itu.
"Bagi waris yang memerlukan tempat tinggal sepanjang tempoh urusan, penginapan turut disediakan oleh universiti. Urusan insurans pelajar juga sedang dikendalikan dengan sewajarnya dan UPSI turut membuka bilik gerakan khas yang beroperasi 24 jam di kampus bagi menyelaras segala bantuan dan maklumat berkaitan,” katanya.
Tambahnya, UPSI juga menempatkan pegawai universiti di Hospital Gerik, Ipoh dan Taiping untuk membantu keluarga dan mangsa.
"Kami turut membantu dalam urusan pengebumian di kampung halaman mangsa dan akan terus menjalankan ziarah serta memberi sokongan psikologi secara berterusan kepada semua yang terkesan.
"Selain itu, UPSI juga sedang menyelaras pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak untuk disampaikan kepada keluarga terlibat.
"Kami amat bersedih atas apa yang berlaku. UPSI akan terus memainkan peranan sebaik mungkin untuk memastikan setiap pelajar dan keluarga yang terkesan diberi perhatian sewajarnya.
"Kami mohon semua warga UPSI dan masyarakat umum sama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan,” katanya.