Deretan kedai lama tinggalan British musnah terbakar

Iklan
Keadaan kedai lama yang musnah terbakar dalam kejadian di Pekan Bongawan, Kimanis, Papar.

PAPAR - Tiga deretan bangunan kedai lama berusia lebih 80 tahun musnah dalam kebakaran yang berlaku di Pekan Bongawan, Kimanis pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu melibatkan bangunan dua tingkat yang menempatkan pelbagai premis termasuk restoran, kedai runcit, kedai alat telekomunikasi, kedai peralatan mainan dan kedai tayar.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 pagi sebelum tujuh anggotanya digerakkan ke lokasi dengan bantuan lapan anggota dari BBP Papar dan tujuh anggota BBP Beaufort.

Keadaan kedai lama yang musnah terbakar dalam kejadian di Pekan Bongawan, Kimanis, Papar.

"Tiga deretan bangunan kedai dua tingkat dengan 14 pintu kedai, jenis tidak kekal serta beberapa kenderaan terbakar.

Iklan

"Operasi memadam kebakaran sedang giat dijalankan menggunakan sumber air dari jentera," katanya dalam kenyataan.

Menurut Nelson lagi, operasi belum ditamatkan lagi dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa.

Iklan

Sementara itu, beberapa penduduk turut berkongsi siaran langsung melalui aplikasi TikTok yang memaparkan keadaan bangunan terbakar serta usaha anggota bomba memadam api.

Melalui perkongsian tersebut, beberapa deretan gerai menjual makanan yang terletak berhampiran bangunan yang terbakar turut hampir musnah.

Difahamkan, deretan kedai tersebut dipercayai dibina sejak tahun 1939 iaitu sejak pemerintahan zaman British.