AI sebagai pembantu, bukan pengganti manusia

Iklan
Walaupun AI memberikan kemudahan luar biasa, ia menimbulkan kebimbangan besar terhadap pemahaman sebenar pelajar terhadap ilmu yang dipelajari. Foto hiasan

KEMUNCULAN teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT, Deepseek dan Gemini membawa perubahan besar kepada dunia pendidikan.

Apa yang dahulunya memerlukan masa berjam-jam untuk disiapkan kini boleh diselesaikan dalam beberapa minit, lengkap dengan rujukan, gaya bahasa akademik dan struktur yang baik.

Iklan
Iklan

Bagi sesetengah pelajar, ini adalah ‘senjata rahsia’ yang memudahkan urusan pengajian. Namun, di sebalik kemudahan ini, timbul persoalan adakah kemudahan ini benar-benar mendatangkan kebaikan kepada pendidikan dan perkembangan intelektual pelajar, atau sebaliknya?

Baru-baru ini, tular satu pengakuan sinis daripada seorang pelajar yang meluahkan simpati terhadap pensyarah universiti terutamanya dalam kalangan generasi lama.

Iklan

Katanya, pensyarah daripada golongan boomers itu sedaya upaya memberikan mereka tugasan yang banyak, termasuk yang diberikan pada saat akhir. Namun begitu, usaha tersebut langsung tidak dapat menyusahkan pelajar.

Menurut pelajar terbabit, mereka tidak terkesan dengan strategi pensyarah, malah mendakwa golongan pensyarah itu tidak dapat mengalahkan kebolehan mereka memanfaatkan AI.

Iklan

Pelajar itu mendakwa, dengan bantuan ChatGPT Premium, Deepseek, dan Gemini, dia dapat menyiapkan semua tugasan dalam masa sehari sahaja, lengkap dengan rujukan dan citation yang betul.

"Hujung-hujung semester carry mark kami semua memang padu atas 50 peratus. Final exam pejam mata je nak dapatkan 30 peratus nak score A. Kesian kan diorang tak dapat nak ‘game’ kita,” ujar pelajar itu.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, yang mempersoalkan kualiti sebenar graduan yang bakal dihasilkan oleh sistem pendidikan jika budaya sebegini terus berleluasa.

Walaupun AI memberikan kemudahan luar biasa, ia menimbulkan kebimbangan besar terhadap pemahaman sebenar pelajar terhadap ilmu yang dipelajari.

Seperti komen pengguna media sosial dalam hantaran tersebut,"Adakah awak benar-benar belajar?”

"Atas kertas mungkin nampak gah, tapi masa presentasi, awak betul-betul faham apa yang awak tulis?”

"Memang ChatGPT boleh bagi jawapan dalam beberapa saat. Tapi bila masuk dunia sebenar, dasar polisi, ilmu teknikal, kemahiran kajian lapangan, bolehkah awak harap ChatGPT semata-mata?”

Kajian oleh University of East Anglia (UEA) mendapati bahawa tulisan yang dijana oleh AI walaupun teratur dan betul dari segi tatabahasa, tidak mampu menandingi esei pelajar sebenar dalam aspek emosi, refleksi peribadi dan daya kritikal.

Esei AI cenderung bersifat generik, tiada elemen retorik atau refleksi peribadi yang dapat membina hubungan emosi dengan pembaca.

Hasilnya, esei tersebut kurang impak dan daya tarikan.

Kajian ini mengingatkan kita bahawa AI belum mampu menggantikan kemahiran manusia yang kompleks. AI menghasilkan fakta, bukan pemikiran.

Ia menyusun maklumat, bukan pengalaman. Dalam dunia akademik, ini membezakan antara pelajar yang sekadar lulus dan pelajar yang benar-benar memahami.

Lebih membimbangkan, dalam dunia sebenar iaitu tempat ilmu benar-benar diuji, AI tidak mampu menggantikan kemahiran penting seperti membuat keputusan, berkomunikasi secara berkesan, atau memahami nuansa sosial dan budaya. Pelajar mungkin dapat markah penuh dalam sistem, tetapi kosong ketika berada di lapangan.

Seperti yang diingatkan oleh pakar linguistik UEA, Prof. Ken Hyland, universiti bukan hanya tempat menulis tetapi tempat belajar berfikir.

"Apabila pelajar datang ke sekolah, kolej atau universiti, kita bukan sahaja mengajar mereka cara untuk menulis, tetapi juga cara untuk berfikir dan itu adalah sesuatu yang tidak mampu ditiru oleh mana-mana algoritma.”

Oleh itu, meskipun teknologi AI membawa banyak manfaat dalam memudahkan tugasan dan meningkatkan produktiviti, ia tidak boleh menggantikan asas pendidikan sebenar iaitu belajar, berfikir secara kritikal, dan menghargai proses serta usaha.

Jadikan teknologi sebagai pembantu dalam perjalanan ilmu, bukan sebagai pengganti kepada usaha dan pemahaman sebenar.

* Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian