JERTEH - [DIKEMAS KINI] Jenazah 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak selamat disolatkan di Masjid Hadhari di sini pada awal pagi Selasa.
Jenazah tiba pada jam 3 pagi diringi ahli keluarga kemudian diusung dengan bantuan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.
Solat jenazah diimamkan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan pemerkasaan syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Masjid Hadari, Mohd Noor Ibrahim berkata, semua urusan selesai tanpa sebarang masalah.
Menurut beliau, walaupun tidak saling mengenali namun ukhuwah terjalin erat antara satu sama lain untuk bersama mengusung jenazah dan menjaga laluan.
"Ini merupakan kali pertama solat jenazah paling ramai sejak masjid dibina lebih 16 tahun lalu.
"Alhamdulillah semuanya beralan lancar dan urusan kami juga dipermudahkan," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, walaupun bukan saudara mara, ramai yang datang menghulurkan bantuan,
"Pihak pengurusan masjid dan semua jemaah turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga terlibat," katanya.