TANGKAK – Lelaki yang disyaki membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir, minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, suspek berusia 33 tahun itu akan berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
"Kertas siasatan telah lengkap dan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor. Pihak pendakwaan telah mengarahkan supaya suspek dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak esok,” katanya ketika dihubungi pada malam Isnin.
Sebelum itu, suspek direman selama tujuh hari bermula 4 Jun lalu dan tempoh reman berakhir pada Selasa.
Dalam kejadian pada 2 Jun lalu, antara jam 4.15 hingga 4.30 petang, mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai kerani ditemukan mati dengan kesan kelar di leher di rumah mereka di Taman Cahaya.
Suspek kemudiannya melarikan diri ke rumah keluarga mentuanya di Kampung Durian Chondong sebelum bertindak membakar sebuah kenderaan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, perbuatannya disedari oleh ahli keluarga mentua sebelum suspek melarikan diri semula ke rumahnya.