IPOH - Proses bedah siasat ke atas 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah selesai sekitar jam 6.15 petang pada Isnin.
Kesemua van yang membawa jenazah mangsa bergerak meninggalkan Jabatan Forensik l, HRPB, sekitar jam 9 malam dan bergerak ke Masjid Hadhari, Bandar Jerteh, Besut, Terengganu untuk disembahyangkan.
Konvoi van jenazah itu akan melalui Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik ke Tanah Merah dan Pasir Puteh di Kelantan sebelum ke Besut, Terengganu.
Perjalanan mengambil masa sekitar lima jam 30 minit dan jenazah dijangka tiba di masjid berkenaan sekitar jam 2.30 pagi.
Jenazah mangsa kemudian akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Kampung Air Terjun, Kampung Gong Bayor, Kampung Rahmat Chalok, Kampung Anak Ikan, Jalan Masjid Kampung Kerandang, Kampung Gong Duet Besut, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Luas, Kampung Paya Rawa, Kampung Telaga Nibong, Felda Tenang, Kampung Gong Pasir Kerandang, Kampung Pasir Badak dan Kampung Amer di Terengganu.