SUBANG JAYA - Wanita yang sebelum ini ditahan kerana dipercayai mendera dua anak perempuannya masing-masing berumur empat dan 16 tahun di Puchong akan didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kertas siasatan berkaitan kes terbabit telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Arahan telah dikeluarkan untuk pertuduhan terhadap suspek wanita yang juga merupakan ibu kepada dua mangsa di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
"Seorang lagi individu, iaitu teman lelaki wanita berkenaan yang turut ditahan sebelum ini, dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa wanita tersebut bersama teman lelakinya yang dipercayai penagih dadah, ditahan selepas disyaki mengabaikan dua individu masing-masing merupakan seorang kanak-kanak dan seorang remaja di Puchong pada Rabu.
Kedua-dua suspek ditahan selepas pihak polis menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung pengabaian dua kanak-kanak berkenaan di sebuah kediaman di Puchong.
Siasatan mendapati wanita berusia 37 tahun itu tinggal serumah bersama teman lelakinya yang berusia 42 tahun, serta dua mangsa yang merupakan anak kandung wanita terbabit, masing-masing berumur empat dan 16 tahun.
Pihak polis dalam kenyataan sebelum ini turut memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa tidak diberi makan, selain tinggal dalam keadaan tidak terurus serta kotor.
Kedua-dua mangsa kini masih dalam tempoh pemerhatian dan berada di hospital.