Nahas pelajar UPSI: Bas patuh SOP pemeriksaan, guna pemandu ganti

Iklan
Bas yang membawa 42 pelajar dan dua pemandu itu merupakan kenderaan yang disewa oleh kumpulan pelajar UPSI untuk pulang ke kampus mereka di Tanjung Malim.

GERIK – Syarikat pengendali bas ekspres yang terlibat dalam nahas maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli awal pagi Isnin memaklumkan bahawa semua prosedur pemeriksaan kenderaan telah dipatuhi sebelum perjalanan bermula.

Menurut wakil syarikat terbabit, bas yang membawa 42 pelajar dan dua pemandu itu merupakan kenderaan yang disewa oleh kumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk pulang ke kampus mereka di Tanjung Malim dari Pantai Timur.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan bahawa pemandu yang membawa bas malam tadi merupakan pemandu ganti kerana pemandu asal bercuti untuk menghadiri kenduri keluarga.

"Namun, kedua-duanya adalah pemandu tetap syarikat kami, bukan pemandu luar atau daripada syarikat lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

Beliau menjelaskan bahawa perjalanan dari Pantai Timur ke UPSI di Tanjung Malim merupakan laluan rutin bagi syarikat tersebut.

"Malah, bas sama turut digunakan sebelum ini untuk menghantar pelajar UPSI ke Pantai Timur sempena cuti Aidiladha.

Iklan

"Bas bertolak dari Besut kira-kira jam 9 malam. Memang menjadi kebiasaan kami menggunakan laluan ini untuk menghantar dan mengambil pelajar secara ulang-alik,” katanya lagi.

Wakil syarikat turut memaklumkan bahawa pada malam kejadian, pihak mereka mengendalikan tiga lagi bas ekspres yang membawa pelajar dengan destinasi dan waktu bertolak hampir sama.

Tambahnya, syarikat menerima laporan awal yang menyatakan kemungkinan bas terbabit mengalami masalah brek, namun perkara itu masih belum dapat dipastikan.

"Selain masalah brek, kami turut diberitahu tayar pecah, tetapi setelah dilihat, tiada kesan pecah pada tayar,” jelasnya.

Menurut beliau, proses penundaan bas dilakukan oleh sebuah syarikat dari Tanah Merah, Kelantan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi siasatan lanjut.

"Syarikat kami sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam membantu siasatan menyeluruh berkenaan nahas ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kejadian itu sebagai antara tragedi berdarah paling menyayat hati dalam sejarah institusi tersebut.