Pegawai penyelidik rugi RM600,500 terjerat skim pelaburan palsu

Iklan
Mangsa membuat 28 transaksi ke tiga akaun bank berbeza sehingga jumlah keseluruhan pelaburan mencecah RM600,500. Foto hiasan

KUANTAN – Seorang pegawai penyelidik kerugian RM600,500 selepas terjerat sindiket skim pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.

Wanita berusia 57 tahun dari Rompin itu menyertai skim berkenaan selepas dimasukkan dalam satu kumpulan dikenali sebagai ‘K81 Lombard Stock Investment Academy’ pada 21 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi LOARDMB melalui pautan yang diberikan suspek untuk tujuan pelaburan.

Yahaya

"Mangsa membuat tiga transaksi awal berjumlah RM14,000 dan berjaya membuat satu pengeluaran awal RM1,000. Keuntungan itu menyebabkan mangsa yakin untuk meneruskan pelaburan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 28 transaksi telah dibuat ke tiga akaun bank berbeza sehingga jumlah keseluruhan pelaburan mencecah RM600,500.

Jelasnya, transaksi itu dibuat oleh mangsa dalam tempoh 23 April hingga 4 Jun lalu.

Iklan

Yahaya menambah, paparan dalam aplikasi tersebut menunjukkan keuntungan melebihi RM300,000. Namun, apabila mangsa cuba mengeluarkan wang sebanyak RM50,000, suspek meminta bayaran tambahan.

"Namun, suspek meminta bayaran tambahan sebanyak RM200,000 sebagai caj perkhidmatan. Mangsa mula sedar ditipu selepas diminta bayaran tambahan itu. Wang yang dilaburkan adalah wang simpanan milik mangsa sendiri," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan," katanya.