SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa berikutan kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, pada Isnin.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.
"Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin.
"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, sebuah bas yang membawa 36 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari program khidmat masyarakat di Kelantan.
Seramai 15 pelajar disahkan maut manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Alexandar menyifatkan, kehilangan 15 nyawa mahasiswa muda sebagai bakal pendidik negara adalah satu tragedi besar kepada negara.
"Saya juga berdoa agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan urusan rawatan mereka," ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertindak pantas dan penuh dedikasi sejak awal pagi.