PEMAIN warisan negara, Hector Hevel mengagumi saingan Liga Malaysia (Liga-M) terutama Liga Super yang disifatkannya berada pada standard baik.
Pemain tengah kelahiran Belanda itu turut memuji mutu permainan tinggi ditampilkan oleh pemain tempatan di Liga-M khususnya mereka yang menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
"Liga Malaysia berada pada tahap yang agak baik. Malah, pemain-pemain yang sudah berada dalam skuad kebangsaan memiliki tahap permainan baik.
"Ini menunjukkan mereka adalah yang terbaik dari negara ini dan kebanyakan mereka bermain dalam liga ini.
"Ia menunjukkan sesuatu tentang kualiti liga tersebut dan mencerminkan kualiti pemain-pemain," katanya yang akan beraksi dalam saingan Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sebelum ini, isu saingan Liga Malaysia terutama Liga Super menjadi perhatian peminat bola sepak negara yang menyifatkan ia semakin hambar dan kurang kompetitif susulan dikuasai oleh satu pasukan sahaja iaitu JDT.
Ia sekali gus menyaksikan saingan liga tersebut semakin kurang mendapat perhatian melalui jumlah kedatangan penyokong ke stadium yang semakin sepi.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan pendapatnya mengenai perbezaan saingan liga di luar negara dan di Malaysia berdasarkan pengalamannya beraksi di beberapa kelab Eropah termasuk di Liga Portugal bersama, Portimonense.
"Mungkin dari segi rentak permainan, ada sedikit perbezaan. Mereka bermain dengan rentak yang sedikit lebih tinggi. Tapi secara keseluruhan, tidak banyak perbezaan.
"Akhirnya, bola sepak tetap bola sepak. Setiap pasukan ada taktik, cara berfikir dan corak permainan tersendiri. Ia bergantung. Setiap negara ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tapi secara umumnya, ia hampir sama," katanya.