Surau Al-Hikmah mulakan ibadah korban seawal jam 2 pagi

Iklan
Urusan ibadah korban melibatkan penyertaan aktif masyarakat setempat.

MELAKA – Lebih 20 sukarelawan Surau Al-Hikmah, Kesidang, di sini, memulakan ibadah korban seawal jam 2 pagi bagi memastikan proses penyembelihan 30 ekor lembu pada tahun ini dapat disempurnakan mengikut waktu yang ditetapkan.

Pengerusi surau berkenaan, Mohd Khairul Zaki Misbah berkata, pendekatan itu diambil susulan peningkatan jumlah haiwan korban yang disumbangkan setiap tahun.

Iklan
Iklan
Mohd Khairul Zaki

Menurutnya, proses menyembelih dan melapah daging yang dilakukan lebih awal dengan penglibatan aktif masyarakat setempat dapat memudahkan urusan pengagihan daging kepada para penerima.

"Kita mulakan seawal 2 pagi supaya apabila orang ramai hadir sekitar jam 8 pagi, daging sudah tersedia untuk diagihkan, dan pelaksanaan program seperti Melaka Qurban House dapat berjalan lancar.

Iklan

"Kerja-kerja membungkus dan mengagihkan daging kepada lebih 3,000 penerima, termasuk golongan asnaf, dapat diselesaikan menjelang jam 10 pagi,” katanya.

Proses pembungkusan daging untuk diagih-agihkan.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban secara berperingkat itu juga membantu memastikan keseluruhan proses berjalan dengan teratur, lancar dan dalam keadaan bersih.

Iklan

"Pihak surau melalui koperasi Melaka Qurban House turut menyediakan stok bekalan daging untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan dalam tempoh tertentu.

"Tujuannya ialah bagi mengelakkan lambakan daging, dan pada masa sama ia dapat membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kenaikan harga makanan,” katanya.