KLANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan program sumbangan ibadah korban kepada rakyat Selangor sempena Aidiladha tahun ini.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, dana itu digunakan untuk pembelian lembu dan kambing korban yang diagihkan kepada komuniti di seluruh negeri.
Menurut beliau, KDEBWM pada setiap tahun mengadakan program sumbangan korban sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.
"Ia adalah sebahagian daripada usaha kami menyokong inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam membantu rakyat khususnya golongan memerlukan,” katanya semasa Program Ibadah Korban di Taman Bukit Jati, di sini pada Ahad.
Mahfuzah memberitahu, pihaknya terus komited mendekati masyarakat menerusi inisiatif CSR sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Katanya, pada tahun ini, Taman Bukit Jati dipilih sebagai salah satu lokasi untuk penyampaian sumbangan sempena program korban bersama komuniti.
"Program hari ini (Ahad), kami menyumbangkan seekor lembu seberat kira-kira 80 kilogram (kg) yang dagingnya diagihkan kepada penduduk setempat serta asnaf agar dapat diraikan bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jati, Aminudin Mokmin berkata, program korban yang dilaksanakan tahun ini memasuki edisi kelima sejak dimulakan semasa pandemik Covid-19.
Jelas beliau, usaha penduduk taman menganjurkan program ibadah korban sejak 2021 membuktikan kekuatan perpaduan komuniti setempat dan peranan aktif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan memerlukan.
Menurut beliau, persatuan penduduk taman itu adalah satu-satunya NGO di daerah Klang yang berjaya menganjurkan program korban secara berterusan dengan kerjasama komuniti.
"Bukan sekadar ahli persatuan, malah kami turut libatkan seluruh masyarakat termasuk fakir miskin, ibu tunggal, miskin bandar dan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Katanya, KDEBWM tampil menyalurkan sumbangan seekor lembu korban bagi menyokong inisiatif komuniti itu.
"Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi mengukuhkan semangat kebersamaan,” katanya.
Tambah Aminudin, lebih 400kg daging korban diagihkan kepada penduduk Taman Bukit Jati dan kawasan sekitar seperti Kampung Pandan, Kampung Dagang Jati dan Kampung Jawa.
"Setiap tahun kira-kira 500 penerima mendapat manfaat hasil agihan daging korban ini dan matlamat kami untuk menyampaikan kepada golongan sasar sentiasa tercapai.
"Kita berharap usaha ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada komuniti lain di seluruh Selangor untuk membudayakan ibadah korban secara berjemaah dan inklusif," tambahnya.