GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menyemak semula pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di negeri ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu berkenaan susulan maklum balas orang awam.
Menurutnya, Kon Yeow bersetuju supaya isu itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk disemak dan dibincangkan semula.
"Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Adalah penting untuk kerajaan negeri terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi dasar baharu, Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif Madani (Madani Home Ownership Campaign-MOC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo.
Beliau berkata, insentif itu berkuat kuasa mulai 1 Jun tahun ini hingga 31 Mei 2026, khusus kepada golongan India Muslim yang berminat untuk memiliki hartanah di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) turut memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu Jenis D (RMKu D) dengan harga siling maksimum RM400,000 dikhususkan kepada pembeli berpendapatan isi rumah sehingga RM15,000 sebulan.