ADUN Paya Rumput niat sumbang lembu korban untuk arwah kanak-kanak maut kebakaran

Iklan
Rais melihat lembu yang telah diniatkan untuk arwah dan keluarga kanak-kanak empat tahun itu bagi ibadah korban pada Ahad ini.

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menyumbangkan seekor lembu kepada arwah keluarga kanak-kanak empat tahun yang maut dalam kebakaran rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong pada bulan lalu.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka berkata, sumbangan peribadi berkenaan telah diniatkan kepada Allahyarham Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, yang maut dalam musibah itu termasuk adik-beradik arwah lain bagi menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha, tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan itu diberikan kepada kariah masjid dan surau serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Parlimen Tangga Batu selain lima daripadanya diagihkan kepada warga tentera di Kem Terendak.

Malah katanya, beberapa ekor haiwan korban lain juga telah diniatkan untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta fakir miskin dalam kawasan Parlimen Tangga Batu meliputi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Rumput, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Klebang.

Iklan

"Ini adalah sumbangan peribadi saya untuk arwah, lagipun mereka bukannlah daripada keluarga yang berkemampuan.

"Selain arwah, saya juga telah meminta pihak pengurusan program korban untuk melihat mana-mana individu yang tidak bernasib baik untuk kita letakkan nama mereka pada bahagian korban yang masih kosong sebagai salah satu cara membantu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kira-kira 30 ekor lembu dan empat ekor kambing kepada komuniti dalam Parlimen Tangga Batu di Kompleks JAPERUN Paya Rumput di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Mengulas lanjut Rais berkata, beliau bersama keluarganya juga akan menyempurnakan ibadah korban di PPR Krubong pada Ahad.

"Semoga sumbangan ini dapat membantu rakyat memerlukan selain menunjukkan keprihatin kerajaan negeri terutama membantu golongan yang kurang bernasib naik setiap kali tiba musim perayaan," katanya lagi.

Sinar Harian pada 16 Mei lalu melaporkan kebakaran sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun disyaki berpunca daripada pemetik api.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, siasatan awal mendapati, ibu mangsa memaklumkan kebakaran tercetus selepas mangsa dikatakan bermain pemetik api.