MPV berhenti tukar pemandu punca kemalangan penuntut IKBN - Polis

Iklan
Ketiga-tiga mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan pulang untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha sebelum terbabit kemalangan. Foto tular

ALOR SETAR – Tindakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti di tepi Lebuhraya Utara-Selatan dipercayai menjadi punca kemalangan tragis yang meragut nyawa tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati MPV jenis Naza Citra yang terbabit dalam kejadian itu dipercayai berhenti di lokasi berkenaan untuk menukar pemandu sebelum nahas berlaku.

Iklan
Iklan

"Pemandu kenderaan itu, seorang lelaki berusia 43 tahun, telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibenarkan jamin selepas semua proses siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan kes masih diteruskan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Iklan

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan bahawa dalam kejadian menyayat hati tersebut, tiga penuntut IKBN Jitra yang menaiki dua buah motosikal maut di tempat kejadian.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun, Muhammad Fahmi Mohd Jamel dari Jeniang, Sik, dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.

Iklan

Ketiga-tiga mangsa berusia 19 tahun dan dalam perjalanan pulang untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Sabtu.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, yang membonceng salah sebuah motosikal, mengalami kecederaan parah di kaki dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).