GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencabul seorang wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam ketika mangsa yang berusia 38 tahun berada di lokasi berkenaan.
Menurutnya, mangsa mendakwa telah diraba pada bahagian dada oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Suspek yang berusia 24 tahun berjaya ditahan oleh orang awam di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 10 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki menangkap suspek warga Nepal yang didakwa meraba seorang wanita di hadapan Pangsapuri Desa Bestari di Pantai Jerejak.
Abdul Rozak berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek secara 'red-handed' selepas kejadian tersebut.