KOTA KINABALU – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersetuju untuk bekerjasama baik dari aspek teknikal dan juga komunikasi bagi menangani isu air yang berlarutan di pusat pengajian tinggi tersebut.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak di UMS telah diadakan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air termasuk berkaitan kecurian air, kerja pemasangan paip yang belum selesai dan juga faktor lain.
"Melalui perbincangan tersebut, JANS juga komited untuk memastikan jumlah air yang masuk ke tangki R13 dalam keadaan mencukupi dan konsisten serta akan bekerjasama dengan pihak UMS berkenaan pengoperasian pam.
"Saya juga ingin maklumkan bahawa indikator sedia ada di tangki R13 telah pun diganti dan pemasangan indikator digital yang telah ditempah dan akan sampai dalam minggu ini juga untuk dipasang di tangki tersebut," katanya dalam sidang akhbar di bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di Sembulan pada Khamis.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, UMS juga perlu memastikan agihan air di kampus dalam keadaan teratur dan baik.
"Selain itu, JANS juga bersedia untuk memberi kerjasama dan juga panduan dalam pengendalian agihan air dalam UMS sekiranya diperlukan.
"Kerajaan negeri melalui JANS sedang melaksanakan pemasangan paip Telibung 2 Fasa 2 yang dijangka siap menjelang hujung bulan Jun atau awal Julai ini untuk kawasan Sepanggar.
"Jadi apabila siap sepenuhnya nanti, jumlah air terawat yang dihasilkan daripada loji tersebut akan menjadi lebih banyak lagi dan menyebabkan bekalan air lebih stabil di kawasan Kota Kinabalu Utara dan juga Kota Kinabalu," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap tiada lagi salah faham berlaku dan cuba mencari solusi berhubung cabaran yang berpunca daripada luar seperti sambungan haram air yang begitu berleluasa sekali di Sepanggar.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kerjasama itu amat diperlukan kerana universiti tersebut mempunyai 23,000 pelajar dan juga kakitangan.
"Jadi apa yang penting sekarang ini, kita mengharapkan sumber air itu ada dan sebab UMS sudah 30 tahun berada di Sabah ini dan kita telah melahirkan lebih 100,000 graduan pakar dan sebagainya dalam pelbagai bidang.
"Jadi saya rasa dengan kerjasama kerajaan dengan JANS dan juga kerajaan negeri ini, ini yang kita perlu," ujarnya.
Beliau dalam pada itu mengakui terdapat campur tangan daripada pihak politik menyebabkan isu tersebut mendapat perhatian luas.
"Cuma yang menjadi isu sekarang ini, ada banyak pihak yang mempolitikkan isu ini. Ini masalah sebenarnya, masalah kecil antara UMS dengan JANS, masalah air.
"Jadi jika itu dapat diselesaikan, tiada masalah sebenarnya dan Alhamdulillah kerajaan negeri telah memberi kita banyak peruntukan.
"Sekarang ini pun air telah pulih dan insya-ALLAH minggu depan pelajar akan datang. Sekarang ini masih cuti semester dan kita mengharapkan penyaluran air itu akan konsisten," katanya.