Tiga individu ditahan tangkap ikan secara haram

Iklan
Maritim Malaysia menahan sebuah bot fiber di di perairan Morib pada Rabu.

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menangkap ikan secara haram di perairan Morib pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan 11 batu nautika barat daya Morib pada jam 12.15 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Kita mendapati sebuah bot fiber tiada nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan, vesel itu ditahan untuk diperiksa.

"Pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki, berusia 39 tahun, bersama dua awak-awak berusia 15 tahun yang merupakan anak lelakinya dan seorang lagi berusia 50 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Abdul Muhaimin berkata, kesemua individu merupakan warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Iklan

Menurutnya, ketiga-tiga individu bersama vesel itu telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.

"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 03-3176 0627 bagi tindakan segera," ujarnya.