Cuaca panas: Jualan penyaman udara meningkat 40 peratus

Iklan
Juruteknik mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum banyak air selain mengelak berada lama di bawah cahaya matahari.

ALOR SETAR - Cuaca panas berpanjangan di utara Semenanjung menyebabkan permintaan pemasangan dan servis penyaman udara meningkat mendadak di Kedah dan Perlis, dengan lonjakan sehingga 40 peratus berbanding tahun lalu.

Menurut Pengarah Urusan sebuah syarikat penyaman udara, Azman Hassan, peningkatan ketara itu direkodkan sehingga Mei tahun ini.

Iklan
Iklan
Azman Hassan

Menurutnya, enam pasukan teknikal digerakkan setiap hari di kedua-dua negeri itu berikutan sistem penyaman udara kini dilihat sebagai satu keperluan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di rumah berstruktur batu.

"Permintaan terhadap pemasangan dan servis penyaman udara memang meningkat dengan ketara disebabkan keadaan cuaca yang panas.

Iklan

"Selain faktor cuaca, penduduk rumah batu, seperti di kawasan perumahan, turut memilih untuk memasang penyaman udara kerana kediaman menjadi panas dari petang hingga malam. Satu keluarga akan rasa tidak selesa, terutama jika ada anak kecil,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jelas Azman, seramai 24 juruteknik syarikatnya digerakkan ke seluruh Kedah dan Perlis bagi memenuhi permintaan tinggi tersebut, termasuk ke Bandar Baharu yang mencatat cuaca panas Tahap 1, dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sejak Selasa.

Iklan

Sementara itu, seorang juruteknik penyaman udara, Ahmad Mat Isa, mengakui cuaca panas memberi kekangan kepada mereka untuk bekerja lama di bawah cahaya matahari terik kerana risiko diserang strok haba.

Menurutnya, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum air dalam kuantiti mencukupi serta mengelak berada terlalu lama di bawah sinaran matahari.

"Tahun lalu, seorang juruteknik kami diserang strok haba kerana terlalu lama bekerja di bawah panas terik. Mulai tahun ini, kami lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.

Pada Selasa, media melaporkan enam daerah di tiga negeri di Semenanjung berada pada Tahap 1 atau tahap berjaga-jaga, selepas mencatat suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), daerah yang terlibat ialah Larut, Matang & Selama, Kuala Kangsar dan Perak Tengah di Perak; Machang dan Kuala Krai di Kelantan; serta Bandar Baharu di Kedah.