MELAKA - Jenazah Iecah Junus, 34, yang maut akibat dikelar disyaki oleh suaminya telah dituntut oleh ahli keluarga selepas selesai proses bedah siasat di sini petang Rabu.
Jenazah kerani kilang itu dituntut oleh abang sulungnya, Hafiz Junus, yang juga seorang anggota polis kira-kira jam 5.15 petang bagi urusan pengebumian yang dijangka diadakan pada malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, Tangkak, Johor.
Proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan difahamkan urusan pengangkutan jenazah dibantu oleh perkhidmatan van secara percuma.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dikafankan dan disolatkan di hospital tersebut sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Tangkak.
Tinjauan mendapati van jenazah bergerak keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira jam 5.20 petang.
Media pada Selasa melaporkan bahawa suspek, yang merupakan seorang penganggur telah ditahan selepas dipercayai mengelar leher isterinya hingga maut di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, pada Isnin.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang dan suspek menyimpan mayat isterinya di rumah dengan menutupnya menggunakan selimut.
Suspek juga dipercayai cuba membakar rumah ibu mentuanya di Kebun Baru, Durian Chondong, di sini, pagi Selasa. Rumah tersebut terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Suspek berusia 33 tahun itu telah direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Tangkak sehingga 10 Jun depan.