Petronas nafi dakwaan akan tinggalkan Kanada

Iklan
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa syarikat itu telah meninggalkan Kanada.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa syarikat itu telah meninggalkan Kanada.

"Sebarang laporan yang mendakwa Petronas meninggalkan Kanada adalah tidak tepat,” kata Petronas sebagai maklum balas kepada pertanyaan Bernama mengenai dakwaan tersebut.

Iklan
Iklan

Pada Selasa, Petronas dilaporkan sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan berkaitan operasinya di Kanada, sebelum ini dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp, termasuk kemungkinan penjualan, menurut sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

Petronas menegaskan bahawa ia kekal komited terhadap pelaburannya di Kanada yang merangkumi pembangunan gas huluan melalui North Montney Joint Venture serta menjadi rakan kongsi utama dalam kemudahan pencairan gas LNG Canada di Kitimat, British Columbia.

Iklan

"LNG Canada kini sedang membuat persediaan untuk penghantaran kargo pertamanya tahun ini. Petronas berbangga dapat membekalkan gas asli cecair Kanada yang rendah karbon dan boleh dipercayai bagi menyokong pasaran tenaga global untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Petronas membeli Progress Energy pada tahun 2012 dengan nilai kira-kira AS$5.3 bilion sebagai langkah untuk mengembangkan portfolio gas syal serta mengukuhkan pangkalan bekalan gasnya.

Iklan

Selain itu, Petronas turut memiliki 25 peratus kepentingan dalam projek LNG Canada, iaitu sebuah usaha sama gas asli cecair utama bersama Shell Plc, PetroChina Co Ltd, Mitsubishi Corp dan Korea Gas Corp.

– Bernama