MELAKA – Dua anggota polis lelaki berpangkat lans koperal dan koperal direman selama enam hari bermula Rabu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang penjual dadah cecair rokok elektronik.
Perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd. Ghani terhadap dua suspek masing-masing berusia 26 dan 37 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Iklan
Iklan
Kedua-dua mereka yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber berkata, pengadu berusia 26 tahun membuat laporan kepada SPRM kerana tidak berpuas hati apabila dipaksa membayar wang berjumlah tersebut.
Ini berikutan dakwaan kedua-dua suspek bahawa individu berkenaan menjual dadah jenis mushroom vape, sedangkan dia menafikan pernah berbuat demikian.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek pada jam 6.25 petang dan 6.30 petang Selasa ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.