Warga asing bertempiaran lari pusat hiburan digempur

Iklan
Sekumpulan warga asing bertempiaran lari menyelamatkan diri bagi mengelakkan ditangkap pegawai imigresen dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut.

JOHOR BAHRU - Sekumpulan warga asing bertempiaran lari menyelamatkan diri bagi mengelakkan ditangkap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut, lewat malam Selasa.

Bagaimanapun, ‘drama’ itu berakhir apabila seramai 236 individu berjaya ditahan dalam serbuan besar-besaran menerusi Ops Kutip, hasil risikan selama tiga minggu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi yang bermula pada jam 11.50 malam dan berakhir pada jam 2.15 pagi itu melibatkan seramai 115 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar.

"Ada yang cuba melarikan diri, tetapi pegawai kita sudah biasa dengan keadaan begitu dan kita dapat mengatasi situasi bagi memastikan mereka dapat diperiksa dan diambil tindakan sewajarnya.

Iklan

"Alhamdulillah, pegawai-pegawai kita juga tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kita telah mengingatkan mereka supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP). Bagi warga asing pula, tiada yang cedera," katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi berkenaan.

Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Dalam operasi berkenaan, seramai 473 individu diperiksa, melibatkan 196 warga tempatan dan 277 warga asing.

Iklan

Daripada jumlah itu, seramai 236 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan.