Setiap kali musim cuti sekolah menjelang, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah, ada yang manis, ada juga mengundang duka.
Cuti sekolah yang sepatutnya menjadi ruang untuk anak-anak berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, sering diselubungi berita menyayat hati.
Laporan tentang kes lemas, kemalangan jalan raya dan kecederaan akibat aktiviti rekreasi seakan menjadi rutin yang berulang saban tahun. Sama ada insiden berlaku di kawasan air, di jalan raya atau di lokasi pelancongan, risiko sentiasa ada jika aspek keselamatan diabaikan.
Inilah realiti perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak supaya percutian yang dirancang tidak bertukar menjadi episod duka. Pada musim cuti ini, ibu bapa dan setiap penjaga dituntut mengambil langkah berjaga-jaga.
Penting untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak terutama apabila mereka terlibat dalam aktiviti air seperti berenang di pantai, mandi di sungai atau meluangkan masa di kolam renang.
Pengawasan orang dewasa adalah kunci utama untuk mengelakkan kemalangan yang tidak diingini. Begitu juga, apabila memilih destinasi rekreasi, adalah wajar untuk mengelak daripada lokasi yang berisiko tinggi seperti kawasan dengan arus deras atau tempat yang kekurangan kemudahan penyelamatan.
Dalam perjalanan pulang dari destinasi percutian, kesediaan dan penyelenggaraan kenderaan harus menjadi keutamaan. Aktiviti memandu jauh tanpa rehat mencukupi boleh mendatangkan bencana terutama apabila pemandu terpaksa berhadapan dengan keadaan lalu lintas yang mencabar.
Penting juga untuk merancang perjalanan dengan teliti termasuk mengenal pasti nombor kecemasan dan lokasi fasiliti kesihatan yang berdekatan supaya sebarang situasi tidak dijangka dapat ditangani dengan segera.
Percutian sepatutnya menjadi waktu yang menyuntik semangat dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun, sedikit kecuaian boleh membawa kepada peristiwa yang tidak diingini.
Kita harus sentiasa ingat bahawa setiap nyawa adalah sangat berharga. Dengan perancangan yang baik, pengawasan yang rapi dan kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan, percutian yang dinanti-nantikan tidak seharusnya bertukar menjadi tragedi.