Realiti pahit atlet para Kelantan tanpa elaun tetap

Iklan
Atlet Kelantan dirai sebelum menyertai Para Sukma Sarawak tahun lalu.

MEREKA tidak bersuara lantang, apatah lagi menuntut lebih daripada yang sepatutnya. Namun di sebalik wajah yang tabah dan semangat juang tinggi, tersimpan rintihan atlet para Kelantan yang terus berlatih saban hari dalam serba kekurangan demi mengharumkan nama negeri.

Berhadapan kekangan kemudahan dan peralatan asas, mereka juga menanggung beban kewangan secara sendiri, membayar tambang ke tempat latihan, membeli kasut, malah ada yang terpaksa meminjam wang semata-mata untuk kekal aktif dalam bidang sukan.

Iklan
Iklan

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID menyingkap suara hati mereka di sebalik segala jerih perih dan pengorbanan ini.

=============================

Iklan

PENGORBANAN atlet para hanya dihargai ketika menang. Itu realiti yang harus diterima. Jika gagal membawa pulang pingat, tiada elaun, tiada insentif. Sedangkan latihan tetap berjalan sepanjang tahun tanpa sokongan tetap.

Setiap kali mahu ke tempat latihan, ada yang terpaksa menunggu bas dan membayar tambang walaupun tidak bergaji dan tidak bekerja.

Iklan

Ada pula terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik demi meneruskan latihan dan berulang kali menangguhkan sesi latihan kerana tidak cukup duit minyak motosikal atau bajet pengangkutan.

Itulah antara jerih perit sebenar ditanggung atlet para Kelantan yang bukan sahaja menggalas nama negeri di pentas sukan, malah bergelut dengan hidup yang serba kekurangan tanpa elaun tetap, kemudahan mencukupi dan jaminan masa depan yang stabil.

Gambar dari kiri: Mohd Firdaus, Nik Mohd Fazhil, Mazzdiana Nur Atasya

Mohd Firdaus Bakar, 30, atlet lontar peluru, cakera dan rejam lembing dari Bunut Payung, yang pernah menyumbang dua pingat emas dan satu gangsa kepada Kelantan dalam temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 berkata, mereka hanya diberi elaun sewaktu temasya, sedangkan latihan dan persediaan berlangsung sepanjang tahun.

Walaupun mewakili negara, insentif dan duit poket kejohanan serta lain-lain tidak sama seperti atlet normal.

"Saya tak kerja sebab nak fokus latihan. Kalau ada kerja pun, kena ambil cuti.

"Tapi kalau tak menang, tak dapat apa-apa. Elaun dapat cuma masa kejohanan. Tak menang, tak ada, dah terlalu kurang dihargai,” katanya yang juga pernah mewakili pasukan bola sepak para kebangsaan.

Menurutnya, tekanan lebih dirasai apabila sudah berkahwin dan menanggung keluarga, menyebabkan dia terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik untuk menyara kos berkaitan sukan.

"Kami kongsi alatan. Kalau orang lain tengah guna, kena tunggu. Ada juga alatan yang dah rosak.

"Sepatutnya ada kemudahan khas untuk atlet para macam negeri lain,” katanya.

Bagi Nik Mohd Fazhil Sukeri, 26, dari Pasir Tumbuh, masalah utama ialah ketiadaan elaun tetap untuk membeli keperluan sukan.

Sejak mengalami kecederaan saraf separuh kanan badan pada 2019, dia hanya mampu mengambil upah mesin rumput demi kelangsungan hidup.

"Nak beli kasut pun tak mampu. Harga kasut sukan yang elok RM500 ke atas.

"Bila tiada duit, saya terpaksa meminjam, tapi risau tak boleh bayar balik,” katanya.

Dia mencadangkan supaya kerajaan negeri memberikan elaun bulanan tetap seperti diamalkan di negeri lain, iaitu RM300 sebulan kepada atlet para.

"Latihan kami tak pernah berhenti, tapi bantuan hanya datang bila ada kejohanan.

"Pernah tak pergi latihan sebab tak ada duit ini minyak kereta. Kalau ada elaun tetap, boleh juga bantu urus kehidupan dan kekal konsisten,” ujarnya.Sementara itu, Mazzdiana Nur Atasya Abd Rahim, 23, dari Tanah Merah turut berkongsi keperitan atlet para wanita.

"Jika ada kejohanan, saya akan tinggal di asrama Kompleks Sukan Panji sebab tak ada lesen memandu dan kenderaan untuk ulang-alik.

"Jika naik bas, tambang pun dah RM10. Tak semua orang tahu betapa susahnya nak kekal dalam sukan,” katanya yang masih bujang dan tinggal bersama nenek yang kini berusia 76 tahun.

Atlet para gigih melakukan latihan bagi setiap kejohanan.

Dia yang aktif dalam tiga acara padang iaitu lontar lembing, cakera dan peluru bercita-cita membantu keluarga terutama neneknya yang merupakan seorang penoreh getah.

Ketiga-tiga atlet ini sepakat mahu perubahan dibuat kerajaan negeri terutama pemberian elaun tetap bulanan, kemudahan latihan yang lengkap dan penghargaan yang setimpal, tidak kira menang atau kalah.