Suspek utama belasah pelajar Tingkatan Lima dicekup

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes lima sekawan tak mengaku cederakan pelajar Tingkatan Lima

SEREMBAN – Salah seorang suspek utama yang disyaki terbabit membelasah seorang pelajar Tingkatan Lima hingga parah bulan lalu berjaya ditahan awal pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di Serdang, Selangor kira-kira jam 3.50 pagi.

Iklan
Iklan

"Ketika penugasan rondaan kereta peronda polis (MPV) Kontinjen Selangor di sekitar Seri Kembangan, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan SP 2/1, Serdang Perdana.

"Hasil semakan mendapati lelaki ini mempunyai rekod dikehendaki berkaitan laporan di daerah Seremban yang membabitkan kes yang sedang disiasat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan turut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.

"Lelaki ini merupakan salah seorang suspek utama yang menghilangkan diri sejurus selepas kejadian dan usaha memburu seorang lagi suspek masih dijalankan,” katanya.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, lima sekawan termasuk dua remaja lelaki bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.