Beku aset Na'imah: SPRM guna Seksyen 53 AMLA, bukan perintah pembekuan – Dzulkifli

Iklan
Dzulkifli

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan aset lebih RM750 juta yang dikaitkan dengan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin bukan pembekuan sebaliknya perintah larangan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penting untuk membezakan antara dua istilah undang-undang itu kerana ia melibatkan peruntukan dan prosedur yang berbeza.

Iklan
Iklan

"Perintah ini bertujuan menghalang sebarang urus niaga ke atas harta yang dinyatakan sementara siasatan oleh SPRM masih berjalan.

"Ia tidak membawa maksud wujud salah laku atau pelanggaran undang-undang terhadap harta tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau menjelaskan, perintah larangan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi melalui permohonan ex parte iaitu tanpa kehadiran atau notis kepada pihak yang terlibat.

Dzulkifli berkata, perintah pembekuan merujuk kepada Seksyen 44 AMLA yang lazimnya melibatkan akaun bank atau instrumen kewangan, manakala tindakan SPRM dalam kes itu menggunakan Seksyen 53 AMLA berkaitan harta di luar negara yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti haram.

Iklan

Katanya, Akta AMLA (Pindaan) 2025 yang mengandungi pindaan kepada Seksyen 53 telah menerima perkenan Diraja pada 24 April lalu namun masih belum berkuat kuasa.

"Pindaan itu akan memanjangkan tempoh perintah larangan daripada 12 bulan kepada 18 bulan, dengan pilihan lanjutan 12 bulan lagi melalui permohonan ex parte oleh Pendakwa Raya.

"Hingga ia dikuatkuasakan, tempoh maksimum perintah larangan masih tertakluk kepada had sedia ada iaitu 12 bulan," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah undang-undang semasa, perintah larangan akan tamat secara automatik sekiranya tiada pendakwaan dimulakan dalam tempoh tersebut.

Katanya, ulasan lanjut mengenai Seksyen 53 termasuk peranan Pendakwa Raya, perlindungan prosedur dan standard pembuktian adalah penting bagi memastikan penggunaan kuasa sekatan aset dibuat secara sah dan berlandaskan prinsip keadilan.