Tersilap masuk gear kereta, warga emas langgar belakang kedai

Iklan
Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bangunan kedai di lorong belakang Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di Melaka pagi tadi. Gambar hiasan 123RF

MELAKA - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bangunan kedai di lorong belakang Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira 8 pagi itu dipercayai berlaku ketika pemandu berusia 70 tahun itu sedang cuba memarkir kenderaan jenis Volvo XC60 miliknya.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati wanita tersebut dalam perjalanan dari kediamannya di Taman Sinn menuju ke kedai makan berhampiran dan ketika tiba di lokasi, dia cuba mengundurkan kereta ke petak parkir namun wanita itu dipercayai tersilap memasukkan gear D dan menekan pedal minyak.

"Berikutan itu, kenderaan itu bergerak ke hadapan dan melanggar bahagian belakang bangunan kedai tersebut namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Christopher berkata, akibat pelanggaran itu, kenderaan wanita itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan manakala bangunan kedai terlibat mengalami kerosakan dinding.

Kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/56). - Bernama

Iklan