Kes simbah asid: Polis mungkin siasat ahli keluarga pemilik spa

Iklan
Mohd Yusoff (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung suspek wanita pelanggan terakhir kes simbah asid disiasat

KOTA BHARU – Polis tidak menolak kemungkinan memperluas siasatan terhadap ahli keluarga pemilik spa yang cedera parah akibat disimbah asid dalam kejadian di Bachok bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan masih aktif dan terbuka kepada semua kemungkinan termasuk faktor individu terdekat mangsa.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, kami sedang meneliti pelbagai sudut dan siasatan kini terarah untuk menyiasat ahli keluarga mangsa.

"Motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan dan kami masih menunggu laporan kimia berkaitan tiga cap jari yang dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Selasa.

Mohd Yusoff berkata, siasatan agak mencabar memandangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak dapat membantu polis mengenal pasti kenderaan atau nombor pendaftaran yang digunakan oleh suspek.

Iklan

"Rakaman CCTV kurang jelas. Kita kini memberi tumpuan kepada bukti fizikal seperti cap jari dan analisis bahan kimia,” katanya.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, mangsa, Nor Faziera Muda, 27, diserang empat individu termasuk tiga wanita berpurdah yang menyamar sebagai pelanggan ketika berada di premis miliknya di Pekan Beris Kubur Besar, Bachok pada jam 8.40 malam.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada lengan kanan dan belakang badan, dan kini masih menerima rawatan.

Sepanjang tempoh siasatan, dua individu termasuk seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang getah di Kuala Krai telah ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan analisis bahan kimia.

"Siasatan masih belum selesai. Kami percaya dengan bantuan analisis forensik dan sokongan orang awam, kita mampu mengenal pasti pelaku sebenar dalam masa terdekat,” kata Mohd Yusoff.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan bahan berbahaya.