UDAIPUR - Seorang lelaki dari Rajasthan didakwa membunuh seorang wanita warga emas dengan membakar mayatnya dan membuang sisa tubuh mangsa ke dalam tasik bagi menghapuskan bukti pembunuhan.
Penolong Ketua Polis Daerah Udaipur, Manish Kumar berkata, suspek, Ramesh Lohar yang merupakan peminat setia drama thriller dan rancangan jenayah sebenar melakukan jenayah itu pada Februari lalu terhadap Chandi Bai, 70.
Menurutnya, suspek mengaku membunuh mangsa kerana mencuri barang kemasnya.
"Pada 22 Februari, Ramesh menawarkan mangsa RM1,100 untuk membuat persembahan di satu majlis.
"Dia kemudian membawa wanita itu ke satu lokasi terpencil dan memukul kepala mangsa berkali-kali menggunakan pemutar skru sebelum menanggalkan barang kemas mangsa, mematikan telefon bimbitnya dan campak ke dalam hutan berhampiran.
"Ramesh seterusnya memandu ke tapak pelupusan sampah, membakar mayat mangsa untuk memastikan tiada sebarang bukti tertinggal," katanya memetik laporan media tempatan pada Isnin.
Manish menjelaskan, suspek kembali ke lokasi tersebut pada keesokan hari untuk mengutip sisa mayat dan membuangnya ke dalam tasik.
Katanya, suspek meniru modus operandi dari filem Bollywood, 'Drishyam' percaya dia tidak akan dikesan sekiranya tiada mayat ditemui.
"Namun perbuatan itu tidak sempurna kerana polis menemui cebisan kecil tengkorak mangsa di kawasan pelupusan.
"Hasil analisis forensik turut menemui kesan darah dan rambut manusia dalam van milik Ramesh yang sepadan dengan mangsa.
"Petunjuk penting ditemui apabila polis mengesan jejak digital Ramesh yang pernah mencari maklumat filem Drishyam dan rancangan jenayah di Google termasuk soalan seperti 'berapa lama mayat mengambil masa untuk reput' dan 'bagaimana polis menangkap penjenayah melalui penjejakan telefon bimbit', jelasnya.