ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki berjaya ditahan polis kira-kira tiga jam selepas dipercayai cuba menyamun dua wanita warga China di sebuah rumah di Gelang Patah, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan neneknya berusia 70 tahun.
Iklan
Iklan
"Suspek berusia 33 tahun mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga sebelum bertindak mencekik remaja berkenaan, menyebabkan berlaku pergelutan.
"Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, suspek melarikan diri sejurus gagal menyamun namun berjaya diberkas sekitar jam 2.30 petang hari sama.
Semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.