HULU TERENGGANU – Kesempitan hidup memaksa lapan sekeluarga di Kampung Paya Besar di sini menjadikan sebuah pondok usang sebagai tempat berteduh sejak beberapa bulan lalu.
Dengan hanya bertemankan dinding kanvas dan zink serta berlantaikan tikar dan kertas tebal, Mazilah Mansor, 47, dan suaminya, Mat Nasir Ismail, 48, menjadikan pondok itu sebagai tempat berlindung daripada hujan dan panas.
Lebih menyedihkan, keluarga ini bersama enam anak dan cucu mereka terpaksa menggunakan air dari paya berhampiran untuk kegunaan harian.
Mazilah berkata, dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan hasil upah membersihkan masjid, dia hanya mampu menyediakan keperluan asas untuk menampung tiga anaknya yang masih bersekolah, termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).
"Bila dapat duit gaji, memang terus beli barang penting seperti beras sahaja. Makanan lain memang tak ada dalam fikiran, jajan memang tak masuk senarai," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut Mazilah, suaminya tidak mampu bekerja kerana menghidap asma kronik, dan dia sendiri turut menghidap penyakit diabetes.
"Masalah utama kami ialah ketiadaan bekalan elektrik serta air bersih. Waktu malam kami hanya guna lampu solar murah yang dibeli dari kedai serbaneka.
"Bila hari hujan pula, terutama waktu malam, kawasan sekitar jadi gelap-gelita dan anak-anak duduk dalam ketakutan," ujarnya yang tinggal di situ bersama menantu dan seorang cucu.
Tambahnya, lebih membimbangkan, pondok yang didiami mereka tidak berpintu dan terdedah kepada ancaman binatang buas termasuk ular sawa.
"Memang selalu nampak ular besar, malah kawasan ini pernah berlaku kejadian ular sawa membaham kambing di kebun sebelah rumah. Harimau pun ada sebab kawasan ni dekat dengan hutan," katanya.
Mazilah memberitahu, masalah yang dialami mereka mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyumbang bantuan zakat sebanyak RM3,000 setahun.
Selain itu, katanya, mereka sekeluarga turut menerima bantuan khas OKU sebanyak RM1,800 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Mat Nasir memaklumkan, dia pernah beberapa kali memohon bantuan rumah dan kebajikan daripada kerajaan negeri, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
"Saya dah banyak kali mohon, tapi bila rujuk semula, jawapan tetap sama, tiada kelulusan," katanya.