KUALA NERUS – [DIKEMAS KINI] Selepas hampir enam bulan diselubungi kebimbangan akibat hakisan pantai, banglo biru yang pernah tular di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini akhirnya berjaya diselamatkan selepas kerja-kerja tambakan siap sepenuhnya pada Khamis lalu.
Pemilik rumah, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, kerja-kerja menyelamat rumahnya bermula sejak 21 Mei lalu dan mengambil masa lebih seminggu untuk disiapkan menggunakan kaedah tambakan bongkah batu dan tanah bukit.
"Tambakan dibuat di sekeliling rumah saya setinggi antara 3.6 hingga 4.5 meter. Bukan mudah untuk atur batu-batu sampai ke tahap sekarang, ianya sangat sukar dan say bersyukur kerana rumah ini selamat.
"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), wakil rakyat, ketua kampung, JPKK dan juga orang ramai yang datang melawat serta mendoakan keselamatan rumah ini.
"Ini adalah hadiah yang amat bermakna kepada saya sekeluarga sempena Aidiladha yang bakal tiba,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Menurutnya, dianggarkan lebih 85 meter tanah miliknya yang menghala ke pantai telah tenggelam, manakala sebahagian besar tanah asal di kawasan itu telah terhakis akibat dipukul ombak ketika Monsun Timur Laut (MTL) melanda akhir tahun lalu.
"Saya masih bimbang walaupun rumah sudah ditambak kerana ombak kadangkala datang tanpa diduga, terutama pada musim tengkujuh nanti yang dijangka bermula November depan.
"Saya fikir bukan sahaja rumah ini, malah rumah-rumah lain di kawasan ini boleh diselamatkan sekiranya kerja-kerja membina benteng pemecah ombak yang kini sedang berjalan dapat disiapkan sebelum kedatangan musim tengkujuh nanti.
"Ia amat membantu untuk mengurangkan impak hakisan akibat dibadai ombak besar,” katanya.
Mengulas mengenai kediamannya yang mengalami kerosakan akibat hakisan, Mohd Yazit berkata, dia akan mengambil inisiatif membaik pulih rumah itu sedikit demi sedikit demi keselamatan kediaman yang telah didiami sejak 2018 itu.
Sebelum ini, kisah banglo bernilai RM600,000 milik Mohd Yazit yang dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan tular di media sosial selepas mendapat liputan Sinar Harian pada Disember tahun lalu.
Rumah yang dibina hasil wang pencen itu dihadiahkan kepada arwah isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos. Malangnya, Allahyarham hanya sempat tinggal di situ selama setahun sebelum meninggal dunia pada 2019 akibat kanser usus.