NIBONG TEBAL - Polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan yang berlaku di kawasan Plaza Tol Bukit Tambun, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan polis mendapati pergaduhan itu melibatkan pertelingkahan antara dua pengguna jalan raya berhampiran lorong RFID sekitar jam 5.15 petang.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan pelanggaran dari belakang yang membawa kepada kerosakan harta benda serta dakwaan serangan fizikal dan ugutan jenayah oleh salah seorang individu terlibat.
"Rakaman kejadian berdurasi 28 saat itu telah dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
"Setakat ini, dua laporan polis telah diterima berkaitan insiden berkenaan dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah),” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Jay January berkata, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam apa jua situasi di jalan raya serta mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan spekulasi.
"Polis menyeru semua pihak agar sentiasa berhemah ketika berada di jalan raya dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam," tambahnya.
Sejak Sabtu, tular video berdurasi 28 saat yang memaparkan aksi dua pengguna jalan raya ‘bersilat’ dan salah seorang daripadanya memegang sebatang besi dalam insiden pergaduhan tersebut.
Bagaimanapun, pertarungan antara dua lelaki itu berjaya dileraikan oleh pengguna jalan raya lain.