JOHOR BAHRU – Pemergian Misnan Ahmad, 60, pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor di Tanah Suci pada Sabtu nyata mengejutkan banyak pihak terutama rakan setugas dan komuniti setempat.
Allahyarham yang menyertai Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ) dikenali sebagai seorang yang komited, rendah diri dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah menyifatkan kehilangan itu sebagai satu tamparan hebat buat pasukannya.
"Saudara Misnan bukan sekadar pegawai, tetapi juga sahabat dan pembimbing kepada ramai.
"Keikhlasan dan pengorbanan beliau amat besar ertinya buat kami semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, pada Ahad.
Menurut beliau, Allahyarham sentiasa menunjukkan integriti dalam setiap tugasan dan menjadi contoh teladan dalam menyantuni rakyat.
"Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini.
"Marilah kita bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” ujarnya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa Misnan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital King Abdulaziz, Makkah.
Katanya, Allahyarham merupakan jemaah daripada penerbangan KT 46 dan menginap di Maktab 90B, Bangunan Diary AlSaad.
"Perkara itu telah dimaklumkan kepada isterinya, Hawa Safar, yang turut berada di Tanah Suci,” katanya kepada media.
Setakat ini, pemergian Misnan menjadikan jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah seramai lima orang.